• Norazlina ZakariaNorazlina Zakaria
 1 / 1 
WORLDWIDE Holdings Bhd (WHB) menjangkakan nilai pelaburan kasar pembangunan hartanahnya mencecah RM3.26 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, WHB menyasarkan beberapa lagi projek pembangunan hartanah bercampur dan hartanah perindustrian komersial di sekitar Selangor antaranya di Shah Alam dan Kapar.

Menurutnya, pembangunan tersebut akan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan kira-kira 200 hektar di Subang  Bestari, Shah Alam; Kapar Bestari, Kapar; Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam dan Alami Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

“WHB akan menumpukan perhatian kepada pelaburan hartanah sedia ada di luar negara, iaitu dua projek di Perth dan Sydney, Australia,” katanya ketika taklimat mengenai projek hartanah terbaharu, Ametis Subang Bestari, di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Turut hadir, Ketua Bahagian Hartanah Worldwide Holdings, Rosli Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat WHB, Ami Nardin Ishak.

Norazlina berkata, bahagian hartanah WHB melancarkan projek hartanah terbaharu, Ametis Subang Bestari di Selangor, dengan nilai pembangunan kasar RM34 juta.

Ametis adalah pelancaran hartanah mewah terbaharu bagi kediaman berkembar semi-D dari WHB yang dijangka siap suku ketiga 2016.

Menurutnya, projek itu mempunyai 20 buah rumah yang dijual serendah RM1.7 juta sehingga RM2.3 juta, sejak diperkenalkan awal bulan ini, sebanyak 40 peratus berjaya dijual.

“Ametis adalah pelancaran hartanah mewah terbaharu bagi kediaman rumah berkembar semi-D dari WHB untuk pembeli yang menginginkan gaya hidup privasi. Ini adalah pelancaran terakhir bagi kediaman semi-D mewah, kami menyasarkan menjelang akhir tahun ini, kesemua unit berjaya dijual,” katanya.

“Keluasan kediaman ditawarkan bermula 3,200 sehingga 3,743 kaki persegi, manakala keluasan tanah bermula 3,049 kaki sehingga mencecah 7,941 kaki persegi,” katanya.

Disokong lokasi strategik, Ametis dibangunkan di kawasan pembangunan matang dengan kemudahan infrastruktur lengkap termasuklah sekolah, dewan, surau, pasar raya, taman rekreasi, sekolah swasta serta akses lebuh raya.

Katanya, mengenai simpanan tanah baharu, WHB sedang meninjau peluang menambah aset di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur serta Australia.

Worldwide Holdings adalah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan memiliki empat sayap perniagaan iaitu hartanah, pengurusan alam sekitar, pelaburan dan pengeluar peranti perubatan.