1 / 1 
PENURUNAN harga kereta secara berperingkat perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada pemain industri mengoptimumkan kos pengilangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automatif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, ia dapat mengurangkan pembaziran dan kos pengilangan serta meningkatkan kualiti dan produktiviti industri automatif.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menurunkan harga kereta serta menawarkannya pada harga yang kompetitif kepada pengguna.

“Penurunan harga kereta secara berperingkat penting bagi memastikan kereta terpakai masih mempunyai nilai,” katanya pada sidang media Pra Pelancaran Pameran Automatif dan Keselamatan Logistik MAI-Lafarge 2014 di Cyberjaya, semalam.

Menurutnya,  MAI yakin mampu mencapai penurunan harga kereta secara purata sebanyak lima peratus bagi tahun ini berbanding 4.97 peratus tahun lalu.

“Ini berdasarkan pelancaran kereta baharu sepanjang 2014 menunjukkan harga kenderaan ditawarkan oleh pengeluar kenderaan turun antara tujuh hingga 19 peratus.

“Persaingan antara pemain industri automotif dalam pasaran merupakan faktor utama harga kereta turun selain daripada kualiti kenderaan yang ditawarkan,” katanya.

Melalui Dasar Automatif Nasional (DAN) 2014, kerajaan mengumumkan harga kereta akan turun antara 20 hingga 30 peratus bagi tempoh lima tahun bermula 2013 hingga 2017.

Sementara itu, Mohamad Madani berkata, Pelancaran Pameran Automatif dan Keselamatan Logistik MAI-Lafarge 2014 bakal berlangsung pada 5 sehingga 7 September ini, bertempat di bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur.

Menurut Mohamad Madani, pameran itu merupakan kerjasama pertama MAI dan syarikat simen Lafarge Malaysia Berhad (Lafarge) untuk mempromosikan keselamatan sektor automotif dan logistik.

“Sebanyak 80 peserta pameran terdiri daripada sektor automotif dan logistik seperti Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Proton Holdings Berhad (Proton) dan banyak lagi akan mengambil bahagian.

“Kami juga turut menyasarkan lebih dari 20,000 pengunjung akan berkunjung ke pameran tersebut selama tiga hari ia diadakan,” katanya.