• Wan Abdul Hakim yang meninjau tapak promosi berminat dengan seni pembuatan selipar yang diperbuat daripada kulit binatang.Wan Abdul Hakim yang meninjau tapak promosi berminat dengan seni pembuatan selipar yang diperbuat daripada kulit binatang.
 1 / 1 
CHUKAI - Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yakin jualan Promosi Kraf Malaysia peringkat Terengganu (One Ganu) yang berlangsung di Jalan Padang, di sini, mampu capai jualan RM1 juta sehingga promosi Hari Kemerdekaan ke-57 itu tamat  30 Ogos ini.

Ia berikutan sambutan menggalakkan yang diterima sehingga kelmarin sejak promosi yang menghimpunkan 81 usahawan kraf seluruh negara diadakan bermula 21 Ogos lalu.

Beliau berkata, angka itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan hasil jualan sebanyak RM433,000 berjaya dikumpul dalam tempoh empat hari promosi.

“Saya percaya jumlah itu berada dalam tangan walaupun pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu menyasarkan kutipan sepanjang 10 hari promosi ini sebanyak RM550,000.

“Promosi pertama kali diadakan di Chukai dan sambutan yang diperoleh sangat baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim turut menyeru agar makanan tradisional satar diketengahkan lebih jauh kerana ia bukan sahaja menonjolkan identiti daerah, sebaliknya membantu memberi kesan kepada industri pelancongan dan ekonomi setempat.

Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Mohd Latiff Dirun berkata, dari segi pecahan kutipan jualan, sebanyak RM74,000 berjaya dikutip pada hari pertama, RM114,000 (hari kedua), RM145,000 (hari ketiga) dan RM100,000 (hari keempat).
“Usahawan yang terlibat dalam promosi itu terdiri daripada bidang kraf tekstil; seramik; logam; hasil rimba dan aneka kraf. Daripada jumlah itu 27 usahawan adalah dari Terengganu,” katanya
.