• Pameran tiga dimensi Puzzling World, Wanaka menjadi salah satu destinasi persinggahan tumpuan di New Zealand. - Foto EHSAN AHMAD CARAVANPameran tiga dimensi Puzzling World, Wanaka menjadi salah satu destinasi persinggahan tumpuan di New Zealand. - Foto EHSAN AHMAD CARAVAN

     1 / 1 
    WORLD Travel Ambassador Sdn Bhd (WTA), agensi pelancongan, bakal memberi tawaran hebat percutian karavan ke New Zealand kepada pengunjung Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2014, pada 5 hingga 7 September ini.

    Pengarah Eksekutifnya, Haffnee Abas berkata, pakej pelancongan Ahmad Caravan itu merupakan salah satu produk inovasi baharu WTA sebagai pengenalan kepada konsep pengembaraan berkaravan terutama mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.

    “Ahmad Caravan baru dilancarkan pada Jun lalu. Hasil maklum balas diterima daripada pelanggan Ahmad Caravan, mereka menyatakan pengalaman berkaravan amat berbeza dan hubungan mereka dengan rakan, keluarga mahupun alam ciptaan ALLAH lebih erat.

    “Untuk mendapatkan diskaun hebat, anda boleh ke tapak pameran nombor 1438 dan 1439 di Pameran Matta yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

    Menurutnya, pada pameran itu, Ahmad Caravan menawarkan penjimatan sehingga RM200 seorang untuk dua pakej konvoi karavan ke New Zealand melibatkan pakej ‘7 hari 6 malam (7H6M) Kembara Pulau Selatan pada 16 Disember ini dan 21 Mac 2015 serta pakej ‘10 hari 9 malam (10H9M) Kembara Utara ke Selatan’ pada 30 Mei 2015.

    Selain New Zealand, Haffnee berkata, Ahmad Caravan akan memulakan pengembaraan ke Australia pada 2015 menerusi dua konvoi pada cuti sekolah iaitu pakej ‘6 hari 5 malam (6H5M) Kembara Perth ke Albany’ dan konvoi ‘8 hari 7 malam (8H7M) Kembara Melbourne ke Sydney.

    Bagi mereka yang tidak minat berkonvoi, Ahmad Caravan juga menawarkan khidmat sewa karavan dengan harga berpatutan dan lebih menarik, mereka boleh mendapatkan khidmat konsultan mengenai lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

    Haffnee berkata, sebanyak tiga jenis pakej karavan ditawarkan melibatkan Ahmad Sweet Couple untuk dua orang, Ahmad Mini Family (4 orang) dan Ahmad Big Family (6 orang).

    Percutian keluarga lebih mudah

    Walaupun karavan adalah sebuah kenderaan bergerak, namun Ahmad Caravan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti peti sejuk, dapur untuk memasak, ketuhar gelombang mikro, peralatan memasak seperti kuali, sudu dan garpu, pembakar roti, gas memasak, pendingin hawa, radio, bilik air, katil dan selimut.

    Pengarah Urusan WTA, Nadiah Abas berkata, semua itu lengkap untuk kemudahan pelancong terutama yang berkeluarga tetapi gemarkan percutian karavan kerana ia lebih mencabar, masa lebih fleksibel, perjalanan santai dan bermisteri.

    “Pelanggan hanya perlu memandu sendiri karavan ini sambil ditemani ahli keluarga tersayang. Selama ini, orang ramai terutama mereka yang beragama Islam mungkin risau bercampur dengan orang luar yang tidak dikenali untuk bercuti, tetapi pakej karavan yang kami tawarkan ini memang sesuai untuk mereka.

    “Misi kami adalah untuk menyediakan percutian karavan yang memenuhi tuntutan sebagai orang Islam ketika mengembara,” katanya.

    Bagi pelanggan Islam, Nadiah berkata, Ahmad Caravan juga akan memberikan panduan perjalanan Muslim yang lengkap mengandungi senarai kedai runcit, bahan masak dan restoran halal bagi setiap keluarga untuk memudahkan mereka bergerak.

    Istimewanya, Ahmad Caravan juga menyediakan kit perjalanan mengandungi cecair samak bagi kegunaan menyamak peralatan masakan seperti pinggan dan mangkuk kepada pelanggannya supaya mereka boleh gunakannya tanpa was-was.

    Jika pelanggan ingin berehat, Ahmad Caravan menyediakan Holiday Parks yang selesa kemudahan bertaraf tiga bintang seperti tandas, bilik mandi, dapur, dobi, bilik menonton TV, bilik komputer, taman permainan dan kemudahan wifi, selain mempunyai tempat caj, isian air dan ‘dump station'.