• Dari kiri: Presiden Hyundai Motor Thailand Co Ltd, Hideki Yanagisawa, Rizal dan Ketua Bahagian Asia dan Pasifik Hyundai Motor Compony, HK Kim, melancarkan pengeluaran rasmi Hyundai Elantra untuk dieksport ke Thailand.Dari kiri: Presiden Hyundai Motor Thailand Co Ltd, Hideki Yanagisawa, Rizal dan Ketua Bahagian Asia dan Pasifik Hyundai Motor Compony, HK Kim, melancarkan pengeluaran rasmi Hyundai Elantra untuk dieksport ke Thailand.
 1 / 1 
INOKOM Corporation Sdn Bhd (Inokom), syarikat pemasangan kereta, memperuntukkan pembiayaan modal (Capex) RM68 juta  bagi mencapai sasaran pengeluaran 34,000 kenderaan menjelang Jun 2015.

Pengarah Urusan Inokom Corporation Sdn Bhd, Rizal Jailan berkata, daripada jumlah itu, pihaknya memperuntukkan RM40 juta bagi meningkatkan kualiti dan kapasiti pengeluaran.

“Tumpuan akan diberikan kepada memperluaskan kemudahan mengecat kenderaan di kilang kemudahan Inokom.

“Setakat ini, kapasiti pengeluaran kenderaan bagi pemasangan tempatan (CKD) di kilang adalah 28,000 setahun,” katanya pada majlis pengeluaran kumpulan kedua Hyundai Elantra yang dieksport ke Thailand, di Kulim.

CKD kenderaan penumpang Hyundai sudah bermula sekitar 2000.

Sementara itu, Inokom juga akan mengeksport 1,000 unit Hyundai Elantra ke Thailand bagi tahun pertama sebelum Jun 2015.

“Sebanyak 200 unit kumpulan pertama Hyundai Elantra sudah dieksport Jun lalu dan penghantaran jumlah yang sama pada September ini,” katanya.

Menurutnya, jumlah unit kenderaan dieksport ke Thailand dijangka meningkat seiring permintaan pasaran kerana model yang dipasang di Malaysia adalah lebih murah berikutan Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta).

“Hyundai Elantra ini menjadi produk sedan pertama kami yang dieksport ke luar negara.

“Jumlah pelaburan bagi program itu adalah kira-kira RM500,000 kerana kami sudah mempunyai kemudahan pemasangan kereta itu bagi pasaran Malaysia,” katanya.

Model Hyundai Elantra menggunakan enjin NU 1.8 liter dijual dengan harga pengenalan bermula RM75,000 sehingga RM90,000 mengikut varian di Thailand.